SEJARAH KELUARGA SAYA SEBELAH EMAK

 Pengkisahan ini saya kutip daripada Facebook Page RAKAN SEJARAH DUNGUN. Ceritanya tak banyak berbeza daripada yang saya dengar daripada emak saya (Jamillah binti Abdullah) dan arwah nenek (Saripah binti Mahmud).



HAJI WAN MAHMUD @ HAJI MAHMUD : PENGASAS KAMPUNG SURA, DUNGUN

Oleh : Haji Wan Mohamad bin Haji Wan Muda
Tokoh yang penulis bicarakan ialah Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Ngah (Kapten Wan Ngah, Pangkuan Harimau JMF) bin Tun Abdul Rahman berleluhur dengan Tun Mutahir (Wan Mutahir) Raja Bendahara Pahang Ke-5 (1847-1861). Haji Wan Mahmud berketurunan ke-7 Laksamana Bentan (Megat Seri Rama) yang dilahirkan sekitar tahun 1872 dan meninggal dunia pada tahun 1952 ketika berusia 80 tahun dan disemadikan di Perkuburan Islam Kampung Sura, Dungun.
Haji Wan Mahmud adalah individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Sura pada tahun 1917. Pembukaan Kampung Sura dilakukan bersama anak buahnya dari Kampung Pulau Serai setelah 34 tahun pembukaan Kampung Pulau serai (1833). Berdasarkan sumber lisan, Haji Wan Mahmud bersama beberapa orang pengikutnya mengadap Sultan Zainal Abidin III (1881-1919) pada tahun 1917 untuk membuka penempatan dan tanah pertanian yang baharu untuk kegunaan penduduk ekoran kepadatan penduduk di Kampung Pulau Serai.
Oleh kerana Haji Wan Mahmud merupakan seorang kerabat diraja Terengganu menyebabkan beliau mempunyai hubungan erat dengan Sultan Terengganu. Ini memudahkan Haji Wan Mahmud untuk mendapat keizinan daripada baginda bagi meneroka sebuah penempatan baru. Sebelum membuka perkampungan ini, Wah Mahmud serta pengikutnya dikenakan syarat iaitu ahli kariah dikehendaki cukup bilangan untuk menunaikan solat Jumaat. Haji Wan Mahmud kemudiannya bermesyuarat dengan penduduk Pulau Serai serta ahli keluarganya yang sebahagian besar menetap di Kampung Bukit Lambor (Bemban), Dungun memaklumkan keizinan Sultan Zainal Abidin III untuk membolehkan sebuah kampung baru di buka di tempat tersebut dengan syarat memenuhi bilangan ahli mukim lelaki yang baligh seramai 40 orang lelaki untuk memenuhi tuntutan solat Jumaat. Haji Wan Mahmud kemudian berjaya menyenaraikan semua nama penduduk terlibat dan mempersembahkan buat kali kedua kepada Sultan Zainal Abidin III lengkap dengan senarai nama mereka yang bersetuju untuk berpindah dan menetap di tempat baharu.
Sekitar awal tahun 1917, dengan rasminya Kampung Sura (Tengah) dibuka oleh Haji Wan Mahmud bersama kaum kerabatnya. Bagi meraikan kampung yang baru dibuka ini, beliau bersama para pengikutnya bergotong-royong memasak bubur asyura. Lalu kampung ini dikenali dengan nama Kampung Sura sempena mengambil nama asyura. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Kampung Sura. Lokasi Kampung Sura kini bersempadan dengan Kampung Batu 48, Kampung Bunga Raya, Kampung Sura Jati, Kampung Sura Hujung dan Kampung Alur Tempoyak.
Sebelum membina rumah kediaman, penduduk terlebih dahulu bergotong-royong membina sebuah masjid bagi memenuhi tuntutan syarat pembukaan Kampung Sura oleh tuanku Sultan. Antara ketua keluarga terawal yang meneroka Kampung Sura ialah Che Mohamad Udin (moyang penulis) , Tok Setapa Wan Jemilah, Haji Abdul Rahman Mohd (guru agama dari Kampung Pinang Merah), Haji Abdul Kadir, Haji Akil, Haji Sulaiman Jusoh, Ayah Long Mahmud Che Wan Sonik, Pak Cik Mail, Haji Mohamad Zain, Haji Junoh Haji Jawal, Tokki Hamid, Haji Talib Mak Ngah Na, Tok Ngah Jusoh, (guru silat ponggok) Haji Wan Abdul Ghani Wan Latif (guru silat ponggok), Haji Ibrahim, Haji Tahar Haji The (guru Al-Quran), Pak Su Husin Seberang Alur serta beberapa yang lain. Mereka kebanyakkannya mempunyai pertalian darah antara satu sama lain. Ketika pembukaan Kampung Sura kebanyakan mereka berusia sekitar awal 30-an.
Pada peringkat awal kegiatan ekonomi penduduk ialah meneroka tanah pertanian untuk bercucuk tanam di sekitar Kampung Batu Lima, Paya Apek dan Kampung Batu 6 bagi penanaman padi, mentimun, kekacang, meneroka tanah di Bukit Bauk bagi penanaman getah dan kebun buah-buahan, menanam pokok kelapa di sekitar rumah di Kampung Sura selain menangkap ikan sungai atau ikan laut. Syarat untuk memohon tanah pertanian daripada kerajaan ketika itu bayarannya sekitar RM10.00 hingga 20.00 sahaja bagi keluasan melebihi seekar (satu lot geran). Berdasarkan cerita lisan Haji Wahid Embong, 79 tahun, setelah pohon kelapa berbuah, Kampung Sura didatangi ramai keluarga dari Kampung Atas Tol dan kedai Buluh, Kuala Terengganu bagi menjalani kegiatan menyadat (ambil nira kelapa) dan memanjat kelapa.
Sewaktu pendudukan Jepun terdapat beberapa peristiwa yang melibatkan Haji Wan Mahmud bin Haji Wan Ngah. Berdasarkan tulisan Tuan Haji Wahab Yunus dalam artikel Sejarah Dungun, berlaku peristiwa pada malam 4 Februari 1945, iaitu Yusof Ali atau lebih dikenali Jusoh Kumpal telah ditembak dan dipancung oleh tentera Jepun. Walau bagaimanapun umur beliau panjang dan masih hidup. Pihak tentera Jepun yang menyangka beliau sudah tidak bernyawa telah menanamnya hidup-hidup. Kemudiannya Pak Soh Kumpal menyelamatkan diri dan bermunajat di Masjid Haji Wan Mahmud, Kampung Sura. Pak Soh Kumpal sempat berbincang serta menerima pandangan Haji Wan Mahmud supaya beliau berundur ke Kuala Terengganu seterusnya bertemu dengan Syed Al-Sagaff. Kedatangan Pak Soh Kumpal bertemu Haji Wan Mahmud tidak menghairankan kerana Haji Wan Mahmud pernah berguru dengan Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong.
Sewaktu hampir berakhir pendudukan Jepun di Tanah Melayu, pihak tentera udara British mengempur kapal tentera Jepun di perairan Pantai Kampung Sura, semua penduduk diarahkan masuk ke dalam kubu untuk berlindung daripada terkena serpihan bom, bagaimanapun empat orang tidak memasuki kubu iaitu Haji Wan Mahmud, Che Mohamad Udin, Ayah Ngah Daud dan Wan Wook Jariah Tun Ahmad (nenda penulis). Keempat mereka menyaksikan proses pengeboman tersebut hingga berakhir dengan kekalahan tentera Jepun yang terpaksa berenang ke pantai dan ditawan British.
Haji Wan Mahmud memiliki tiga orang isteri iaitu Nyang Esah, Nyang Kalsom dan Nyang Datimah binti Jusoh di mana penulis sempat bertemu mereka sekitar akhir tahun 1960-an. Ketiga-tiga isteri ini amat menghormati suaminya serta menetap di kawasan berhampiran dan saling bekerjasama antara satu sama lain. Mereka dikurniakan dua orang anak lelaki dan empat orang anak perempuan.
Sehingga hari ini Kampung Sura masih dipimpin oleh keturunannya sebagai ketua kampung. Anakanda beliau iaitu Tuan Haji Ahmad Haji Wan Mahmud (1953-1970-an) dilantik sebagai ketua kampung diikuti cucunya sebagai Pengerusi JKKK iaitu Tuan Haji Ali bin Haji Abdullah (1980an-1990an) dan kini disandang pula oleh cicitnya Tuan Haji Wahab bin Haji Ali.
Berdasarkan keterangan di atas, membuktikan bahawa jasa dan sumbangan Haji Wan Mahmud tidak boleh dibandingkan dengan harta dan wang ringgit. Namun begitu kita sebagai generasi sekarang cukuplah mengingati dan menghargai setiap jasa dan sumbangan besar tokoh terdahulu seperti Haji Wan Mahmud yang membelah hutan belantara untuk membuat penempatan penduduk demi kesejahteraan kita.
Rujukan :
Tuan Haji Wahab bin Yunus, Simposium & Pameran Sejarah, Kisah Pak Soh Kumpal
Haji Ismail bin Mohamad (1913-1990), datuk kepada penulis dan tinggal bersama penulis
Wan Wook Jariah binti Tun Ahmad (1920-1992), nenek kepada penulis. Salah seorang murid Haji Wan Mahmud dan tinggal bersama penulis hingga akhir hayat
Haji Ahmad bin Haji Wan Mahmud (1925-1999), datuk saudara penulis
Haji Ali bin Haji Abdullah ,78, tahun, cucu kepada Haji Wan Mahmud – temubual pada 7 Februari 2018 di Kampung Sura, Dungun.
Che Dara Shamsiah binti Ismail ,79, tahun, ibu kepada penulis.
Haji Wahid bin Embong, 79 tahun - temubual pada 28 Julai 2018 di Kampung Sura, Dungun
Khairul Anur bin haji Abas, 53 tahun, cicit kepada Haji Wan Mahmud – temubual pada 28 Julai 2017 dan 21 Februari 2018 di Kampung Sura, Dungun






Subscribe to receive free email updates:

0 Response to "SEJARAH KELUARGA SAYA SEBELAH EMAK"

Catat Ulasan